Ahad, November 21, 2010

Pabila Dapur Menyanyi

pabila periuk menyanyi
ibu sibuk kacau menumis
anak sibuk ronta menangis
ayah sibuk membaiki kumis

pabila kuali menyanyi
ibu sibuk asyik menggoreng
anak sibuk baling tertungging
ayah sibuk mengusap baring

pabila belanga menyanyi
ibu sibuk renjis menggulai
anak sibuk rambut terurai
ayah sibuk bermulut murai

pabila dapur henti menyanyi
ibu sibuk mengemas rumah
anak sibuk main di tanah
ayah sibuk tak tentu arah

sibuknya anak
sibuknya ayah
namun tak terlawan sibuknya ibu
berkorban jiwa sepanjang waktu...

~ amri abd rani ~

Jumaat, November 19, 2010

Datar

bersantai bayu di celah pepohon datar ini
tempat terperah keringat
tempat terhambat penat
mengajar makna lelaki dan diri
sekukuh jiwa perkasa menggagah dada

berkelah sungai di sejuk alur datar ini
tempat meraih simpati
tempat meleleh rezeki
mengajar makna kosong dan sepi
sesunyi subuh yang hampir nak pagi

berdayung onak di muara lusuh datar ini
tempat cinta bersemi
tempat kasih bersemadi
mengajar makna sayang dan janji
sesuci embun di pagi hari

berlari anak di jalanan luluh datar ini
tempat terbongkang rebah
tempat terlentang patah
mengajar makna sedar dan tabah
sesabar menganyam madu sang lebah

bergelora badai di gigi pantai datar ini
tempat memikat iman
tempat memukat Al Quran
mengajar makna kalimat dan akhirat
moga terjaring serelung Rahmat...

~ amri abd rani ~

Rabu, November 17, 2010

Kaabah

berjuta tamu agung
berjuta lambaian
sendiri mengemudi
sejarah dan sunnah
suruh dan surah
atas kami hamba Mu

tika ini kau berbaju baru
kiswa bersulam emas
kalam Allah tersongket indah
dikelilingi tawaf
dikelilingi insaf

tika ini kami lemas
tika ini kami cemas
kabulkan kami Ya Allah
Mabrurkan kami Ya Allah
kami sahut
kami turut
ajaran benar Mu Ya Allah...

~ amri abd rani ~

Ahad, November 14, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Adha

"Sempena Musim Perayaan, harap dapat tinggal jejak anda di sini"
>>> M a a f Z a h i r B a t i n <<<

Rempit


Rempit

Hari ini rempit rempit
rasa letih perit perit
kereta klasik sakit sakit
enjin kuat jerit jerit

bawa perlahan orang pandang
bawa laju orang meradang
tua muda jerit belakang
cepat sikit macam pondan

macam macam ragam orang
tak boleh tengok orang senang
Pakwi baru nak lenjan
gaya gaya jadi jantan

Hujung minggu memang begini
bawa keluarga kedai kopi
makan makan layan bini
bimbang nanti dia lari

hihihi

~ amri abd rani ~

* sapa jumpa Pakwi dlm kete ni.
hon2 lah yaaa....


Jumaat, November 12, 2010

Cinta

tadi sewaktu pergi

lepas makan di warung kopi

sambil belek berita

banyak yang aku baca

aku melintas di istana mu

barangkali ingin lalu


tadi sewaktu kembali

lepas makan sembang di pekan

sambil cuci mata

tertikam habuk kota

aku melewati anjung mu

barangkali ada rindu


tadi sewaktu petang

lepas mandi rehat di rumah

sambil menonton tv

banyak acara luar negeri

aku menyusuri beranda mu

barangkali ingin ketemu


tadi sewaktu malam

lepas solat isyak sendirian

sambil mengadah ampun

banyak dosa merimbun

aku melamun di jendela

barangkali ada putik cinta

gemersik risik membisik...


~ amri abd rani ~


Rabu, November 10, 2010

Aku kah itu....

Aku kah lelaki itu
yang kolot berperahu tingkah dan laku
menggumba siang
mendamba malam

Aku kah lelaki itu
yang compang harta dan camping jiwa
mengemis siang
menangis malam

Aku kah lelaki itu
yang bermandi keringat di pepasir hangat
meredah siang
melelah malam

biar seribu onak menyerbu
biar seribu ombak membayu
aku ingin begitu
aku bangga menjadi aku..

~ amri abd rani ~

Selasa, November 09, 2010

S u a m i

kau kata aku cinta pertama
takkan datang kedua
kau kata cinta bertakhta
bukan nafsu bermaharajalela
kau kata susah payah harung berdua
tidak biar aku meronta
kau kata kena banyak sabar segala
kini kau yang hilang punca
kau kata maufakat baru berkat
kini kau yang senyap berpakat
kau kata anak anak syurga di hati
kini aku yang makan hati
kau kata rela mati
kini aku yang setengah mati
kau kata rumah ku syurga ku
kini syurga mu ke mana berlalu
mana hilang rindu syahdu
pada asyik firdausi mu.....?

rupanya
makin sayup pepohon menggapai langit
makin ganas deru angin membadai sengit
sandar terkapar aku kau biar
hingga hati menjadi tawar....

~ amri abd rani ~

*gambar sekadar hiasan....

Isnin, November 08, 2010

Menongkat Langit

apa kau cari
apa kau gali
tak muat kanan kau sumbat kiri
jangan haloba kelak makan diri
kubur kata mari
kau tuli tak peduli

apa kau suka
apa kau bawa
tanah saujana sekangkang kera
harta merimbun geran berjela
kain kapan tak berapa ela
kelam berbaring suka tak suka

susun harta mu
pacak takhta mu
biar tersua awan nan biru
moga capai hasrat menderu
menongkat langit igau mimpi mu...

~ amri abd rani ~


Sabtu, November 06, 2010

B a n j i r

datang lagi
takdir Ilahi
membasah bumi
menenggelam isi
menyuci daki

semua riuh
semua gemuruh
kerja tertangguh
tidur bersimpuh
hati terseliuh
bimbang dirempuh
air keruh
gagah merusuh

ini sedikit
ini secubit
dugaan membingit
jangan tercirit
jangan menjerit
musibah berdikit
susah melekit
Tuhan uji cuma secuit

~ amri abd rani ~

Jumaat, November 05, 2010

Gadisku........(ii)

Dengkur angkuh mu menggetar rasa
merentap singgahsana
hati yang ku baja menjadi istana
kini runtuh tertimpa petaka
punah membinasa

engkau kah yang semalam menoleh
gegar jiwa hiris tertoreh
tanpa senyum melirih
tanpa suara bertatih
mendendam seorang aku
hingga kelu terpaku

usah dibelai urai resahmu
usah dimadah laku jujurmu
dalam dirimu tiada aku
dalam hatimu yang lain bertamu
aku umpama deru angin berlalu
aku hanya jambatan mu lalu
aku cuma perhentian membasuh rindu...

~ amri abd rani ~

>>>koleksi 1987

*Lakaran oleh En Nuansa

Selasa, November 02, 2010

Gadisku........( i )

selautan kasih membasahi
segunung rindu menyirami
berlingkar keresahan nan tandus
menggersang benak hati
berontak kasih tiada bertabir
luluh dan lelahnya muara ku
menyusuri kuala mu

wajah siapa terimpi di igau mu
ramah membalut luka
teronta ranjang malam nan kelam
indah menongkah mimpi bertalu
ingin beriba di anjung syahdu

aku kah....
nun kesayupan terhampar harap
berbahasa sendiri berteman sepi
berbicara di laman sunyi
kini sendirian menyongsong liku
melukah di lurah rebah
meredah di danau lecah...

~ amri abd rani ~

>>>koleksi 1987

* Lukisan oleh Dato Hoessein Enas (1950)

Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.