Ahad, Mac 27, 2011

Malang

Bangsaku sibuk mengisi perut
bangsaku lemah pergi mengurut
bangsaku suka membaiki kedut
bangsaku selalu fitnah di mulut
bangsaku luka tertinggal parut
bangsaku minat cerita mengarut
bangsaku pernah jadi pak turut
bangsaku sering berfikir kalut
bangsaku kadang otak di lutut
bangsaku biasa ugut mengugut
bangsaku asyik video mencarut

orang lain dah pergi ke bulan
orang lain tak panjang angan
orang lain berpegang tangan
orang lain banyak pandangan
orang lain kemas pegangan
orang lain cari kemenangan
orang lain harta di kayangan
orang lain rajin kiri dan kanan
orang lain hotel di awan
orang lain kejar kemajuan

bukan tak bangga dengan bangsaku
bukan tak suka dengan lumrah ku
kadang kesah lalu bertamu
bangsaku asyik cerita menipu
bangsaku asyik tingkah mengampu
bangsaku asyik onak berliku
bangsaku asyik sandiwara dulu
aku dah bosan aku dah jemu

~ amri abd rani ~

Khamis, Mac 17, 2011

Pasang Telinga

kau empuk di atas
lentuk meliuk beralas
petah kata berkias
mahligai berkilau hias
kami termanggu was was
minyak mahal naik bas
bawa laju bas terbabas
semua urusan bantut terkandas

kubanglah ke sawah
turunlah ke bawah
mari rasa nasi kawah
cari marhain kosong mewah
intai jelata di celah celah
sekali sekala sebar dakwah
jangan asyik cipta dakyah

undi ku rahsia
suka ku pilih siapa
tepuk dada tanya selera
jangan biar aku kecewa

~ amri abd rani ~


Khamis, Mac 03, 2011

Kota

aku tahu kota mu bersalju
aku tahu tasik mu membiru
aku tahu sibuk kota mu menderu
aku tahu asyik kota mu berlagu
aku tahu indah kota mu terpaku

percayalah
kota mu keliru
kota mu bernafsu
kota mu membatu

aku senang di sini
teratak tua faham bicara
hijau dedaun menyapa muka
sejuk sungai menusuk rasa
kabus lereng tersukma jiwa

aku megah di sini
darah ku tertumpah
jiwa merdeka menggagah
walau hujan batu datang terarah
hujan emas takkan ku sembah

~ amri abd rani ~

Selasa, Mac 01, 2011

Hati Tisu

Entah apa yang dia kutip
entah apa yang dia titip
jinjing ke lorong
gelek terkedek
senget membelek
ketar mulut ternganga
mungkin kelaparan
ada lagu berdendang
dalam perut
..........aku terkedu

langkah terhenjut
tongkat menggagah
kadang hoyong kadang hayang
terkumat kamit
kemeja rabak koyak
seluar carik jahit
tangan mengemis
tubuhnya hamis
ada kocek di pinggang
kosong isi
..........aku tersedu

legar mengais meja
sondol sepatu mahal
cuma mahu secebis
cuma mahu yang tak habis
sepatu mahal menguis
sepatu mahal merenjis
kucing itu kebuluran
tiada poket di pinggang
hanya perut bergendang
..........aku menangis

~ amri abd rani ~

Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.