Jumaat, Julai 29, 2011

Terhiris

Hati pun terhiris
mata berkaca tiada menitis
gelodak rasa sayu gerimis
merenjis renjis
jalanan indah terasa dikikis
terhakis

jiwa pun menangis
tiada sesuatu dapat dilukis
walau memahat awan gerigis
walau mengukir bayu mendesis

hujan pun terguris
bersaksi rimba paku dan pakis
depan ternganga takdir tertulis
belakang tertinggal harum dan hamis

~ amri abd rani ~

>>>
Aku nak kongsi Terhiris dgn tuanpunya blog Toyolkiut yg tak dapat dikesan. 2,3 hari lepas ada aku ke blognya, tp tiada ruangan komen cuma boleh email je jika berminat, dan malam ni blog tu hilang dari alamaya. Mungkin aku/kita ada berbuat salah dgnnya sehingga dia merajuk hati... atau mungkin jugak dia sengaja ingin menyepi diri sempena Ramadhan yg mungkin bermula Isnin depan. Apa pun, jika dia tersesat/berkunjung ke sini, aku ingin memohon maaf seandainya ada terkhilaf dan tersasul dlm memberi komen atau apa saja yg mungkin membuatkan dia Terhiris. Di bawah aku paparkan screen capture dari blog dia yg aku kutip dari google webcache.




Isnin, Julai 25, 2011

Ramadhan Datang Lagi

ramadhan datang lagi
membawa puasa
membawa dahaga
membawa pahala

ramadhan datang lagi
membawa purnama seribu
membawa janji janji Tuhan mu
membawa ampunan syahdu

ramadhan datang lagi
membawa rasa miskin
membawa insaf yakin
membawa segala mungkin

di anjung yang indah bermula
tertutup neraka
terbuka syurga

~ amri abd rani ~


Sabtu, Julai 16, 2011

Suka

aku suka politik
tiada ruang untuk fanatik
lebih minat pemimpin realistik
boleh jalan politik plastik

aku suka kritik
bagi sedar yang putik putik
bikin gegar yang statik statik
moga mekar makin fantastik

aku suka antik
kereta usang suis petik
warna pudar bintik bintik
siapa memandang hati berdetik

aku suka cantik
sopan santun berjari lentik
putih pipi lembut lipstik
bikin hati jadi romantik

aku suka mistik
alam ghaib jembalang katik
dunia Tuhan penuh drastik
sedar sedar Izrail menjentik

~ amri abd rani ~

Rabu, Julai 13, 2011

Pendekar Warna

sedang tadi berfikir
anak berontak ayah berarak
ke mana kalian
terkinja kiri terkinja kanan
ada mata menghilang...?

sedang tadi berzikir
huru ke muara hara ke kuala
kalian ke mana
dayung mendesah tercabar resah
ada cita merana...?

sedang tadi berdikir
ada murka di muka ada marah memerah
bagaimana kalian
terlepas geram tercapai idam
ada warna di sana...?

lagak pendekar bukan begitu
bukan begitu ajar guru mu
jangan melulu duhai melayu
fikir fikir hingga seribu
nanti nanti tingkah berliku....

~ amri abd rani ~


Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.