Jumaat, Julai 30, 2010

Broadband Ku

Aku sedih blogwalking
kerana broadband ku kelingking
merayap perlahan macam cacing
kadang kena "refresh" berpusing pusing
mungkin dan cukup 5GB dia cah keting
mohon ampun pada sahabat yang berdesing

Tidak mengapa traffic kurang aku rela
bukan itu tujuan di sini aku berada
kadang ke teratak mu mahu jaja ada cerita
sambil membelek kisah menarik yang kau sedia
bertanya khabar moga engkau makin ceria

Diam di sini pun cuma terkadang
lebih lagi bila isteri marah meradang
tak lah...isteri ku baik tak pernah menendang
di sini aku cuma berdendang
menghibur hati di sunyi petang
menghibur diri di bendang kontang
meluah rasa di malam siang

Selama di sini sebulan dua
aku berasa ada yang murka
dia terasa rumahnya aku tak terpa
dia terasa mungkin aku mula melupa
Demi Tuhan Yang Kaya Punya Segala
takkan ku berbuat sebegitu kerja
aku ceria aku bangga kau jadi tetangga
akan ku jejak kaki mu hingga ke tangga
namun maaf lah adinda kekanda
broadband ku angkara segala cerita.....


~ amri abd rani ~

Khamis, Julai 29, 2010

Subsidi

Kita makin kurang subsidi
ia petanda harga akan menjadi jadi
ia bermakna kurang kuasa membeli
banyak benda kena buat sendiri

kita kadang tertanya tanya
mana satu hak yang kita punya
jika berjuta mahu diselamatkan
mana slogan rakyat didahulukan

kita bukan dengki...kita bukan benci
cuma meluah sedikit kata hati
kasihan pada rakyat masih tercari cari
mengais pagi dan petang cari rezeki

pada anak yang ramai memang satu bebanan
minyak kereta perlu diisi untuk berjalan
beratus ringgit hanya untuk membayar yuran
harga gula dah naik hanya minum secawan

kita bukan menjerit untuk minta sedikit
tapi antara kita ramai yang dah sakit
barang yang sedia ada harga dah membukit
janganlah kurang lagi nanti ramai yang tercirit....


~ amri abd rani ~

Rabu, Julai 28, 2010

Bila Isteri Menangis

Bila isteri menangis
ada sedih luka terhiris
ada berontak perang krisis
ada sayu jiwa terguris
ada singgung dalam gerimis

Bila isteri menangis
kau perlu di depan menyapanya
kau perlu di belakang mendokongnya
usah biar dia sendiri memikul resah
usah ajar dia sendiri melawan kesah

Bila isteri menangis
lagunya mesti kau dengar
kaulah nyawa keliling pinggang
kaulah tiang dia berpegang
jangan tinggal dia keseorangan....


~ amri abd rani ~

Isnin, Julai 26, 2010

Agungan Dari Sahabat

Award lagi dari sahabat
tiada yang megah tiada yang hebat
cenderahati cuma salam berjabat
Pakwi terima Pakwi rembat
maaf lah kalau mengambilnya terlalu lambat
ego dan sombong tak dibuat buat
banyak kerja urusan pejabat
moga silaturrahim kan tertambat.......


tulus dari : http://warisanizryn4u.blogspot.com/

~ amri abd rani ~

Rindulah Kami

Selinap ke teratak teman pagi buta
hadiah bertamu untuk mu sahabat tercinta
mekar segar serasa di mahkota
terang di hati tiada meronta

Letih pun belum kurang
penat dan lelah silih bersilang
jalanan jauh ke kampung kunjung bertandang
teringat ibu tua tersenyum girang
anak anak pulang ingatkan hilang
dalam hatinya mungkin berkecamuk soalan
memikir sendiri tak ketemu jawapan
termenung jauh melayan perasaan
anak anak mungkin tiada lagi kasihan

Ibu....
dalam benak dalam akal tak keruan waktu
ada sentiasa bertamu rindu
cuma masa kekangan di penjuru
kadang kami terleka melulu
namun percayalah tak usah meresah di kalbu
jalanan panjang sanggup kami pandu
demi mengidam syurga di telapak kaki mu.........


~ amri abd rani ~

Sabtu, Julai 24, 2010

Pagi Sabtu

Biasa aku tak kemana
kecuali ada majlis terencana
kecuali juga ingin berkelana

Biasanya...
aku diam damai di teratak buruk
terkadang buat buat sibuk
mengelap habuk
mencuci gerobok
tapi.....
banyak acara membuka periuk
makin hari bertambah gemuk

Biasanya...
ke kampung menatap jernih wajah ibu
keseorangan memintal syahdu
keseorangan memamah rindu
anak anak sudah jauh mengejar tugu
sejuta resah mengenang ibu

pada yang muda mungkin tidak berasa
kerana masih punya ibu dan bapa
namun pun begitu
didiklah hamparan dinding hati mu
sekali sekala bersyair lagu rindu...


~ amri abd rani ~

Jumaat, Julai 23, 2010

Bisik

Bisik
berkocakan serabut hatimu jika bertamu
gelodak di muara
keruh di kuala
ada putus kata yang perlu di bicara
ada betah jiwa yang perlu kau jaga
detik kalbu mu
ada yang merindu
mungkin dah berminggu

Bisik
berdesing telinga walau perlahan suara
ada cerita ada pelangi jingga lunak di halwa
dengar lah
mungkin benar belaka
tepis lah
mungkin ada fitnah dijaja
benak akalmu
pemutus segala

Di kepekatan malam yang kosong warna
hati berbisik tercuit
hati gemersik dirisik
melihat langit tiada penghujungnya
Maha Agung Mu Ya Allah
Tuhan sekelian alam
hindarkan aku dari bisikan seteru Mu
bantu lah aku
aku rindu
aku ingin lemas diam
dalam bisikan Mu..........


~ amri abd rani ~

Khamis, Julai 22, 2010

Aku ampunkan

Duhai anak Adam
hulur mesra harap dan pintalah
Aku tidak peduli selautan dosamu
Aku ampunkan

Duhai anak Adam
setinggi langit pun salah mu
namun jika engkau hemah merendah bahu
bersimpuh ampuh
Aku ampunkan

Duhai anak Adam
sepadat bumi kau junjung terkhilaf
seisi dunia kau kandung bersalah
namun nanti.......
kau datang bersembah tamu pada Ku
dan andaikata........
tiada dosa dan noda mu sekutukan Aku
Aku pasti datang pada mu
sepenuh bumi pula
Aku ampunkan


~ amri abd rani ~

Olahan dari Hadis riwayat Tarmizi

Isnin, Julai 19, 2010

Permaisuri Hilang

menghirup kopi sejuk yang tadi malam
tersandar melelah pulas di meja antik
pikuk anak mendayung gelas menari
terkucar di dapur terkacir di lambur
tersompek gelas tersepah alas
selerak gelimpangan terbang ke tandas

mendukung si kecil yang hingus menangis
kadang ketawa terpampang rongak gigi
berpulas di genggam ingin melepas
mahu mencumbu halus serdak sampah
ingin di telan
fikir mereka itu makanan......

Berduyun di mesin seluar baju
ghaib hilang ... kosong gerobok
menunggu jelma rajin menggagah dada
sejak pagi susur petang
bakul terbongkang bersih tak kelihatan

malam gelita bertandang pedih membungkam
berselimut sunyi kosong terhampa keranjang
anak anak hanyut lemas menganyam mimpi
tidur awal agar ringan bangun pagi
esok tersedar... esok terjaga
moga kan terhadir Si Dia...............


~ amri abd rani ~

Ahad, Julai 18, 2010

Barang Dah Naik

Berlenggang ke pasar tani tadi pagi
selepas di rumah basuh kuali
anak anak memikul bakul
aku mengelek kocek
umi jadi Cik Mek Molek


Berlenggang di lorong sayur
makcik tua tersenyum...gigi menyala
kendur berkedut meraung halwa
sayur sendiri belakang rumah dia bersuara
aku menilik aku membelek
bukannya pelik
bimbang sayur baunya jelek


Berlenggang di lorong ikan
pakcik tua tergelak....gigi berkarat
tembakau menguning memecah rasa
bela sendiri belakang rumah dia berkata
aku memegang aku teransang
bukannya hairan
segar hasil hidungnya kembang


Berlenggang pinggang di lorong orang
ada menggeleng ada memandang
barang secubit harga membukit
peluh melekit duit sedikit
kalau tak beli perut menjerit
bahana nanti ada yang sakit
apa nak buat terpaksalah ambik
semua barang harga dah naik


~ amri abd rani ~

Sabtu, Julai 17, 2010

Aku

Aku ingin berpuisi
selagi ada ilham terisi
selagi ada nyawa belum terhenti
selagi ada insan yang menyudi
selagi ada rasa di hati berperi
selagi ada resah gelisah boleh dikongsi
selagi ada sinar hangat si matahari

Aku ingin berseloka
selagi ada salah benar perlu ku sapa
selagi ada cerita meriah ingin ku jaja
selagi ada sandiwara melusuh jiwa
selagi ada pentas bergurau bersenda
selagi ada tinta tak habis di kuala
selagi ada suka di jiwa loka

Aku ingin bersajak
selagi ada pilu tak terjejak
selagi ada rindu tak terbajak
selagi ada kasih rayu membuak
selagi ada sayang galak memuncak
selagi ada benci di sisi terkopak
selagi ada dendam berbalam terkocak
selagi ada dengki khianat terlajak

Aku ingin buat segala
selagi ada raga membara
selagi ada masa ketika
selagi ada obor menyala
selagi ada setitik tinta
selagi ada secubit rasa
selagi ada secebis harta
selagi ada nafsu meronta
selagi ada nyawa di dada

Tuhan ku
kuat kan tekad ku
kuat kan iman ku
kuat kan nafas ku
aku ingin berpacu
aku ingin berseru
di lembah damai REDHA Mu......


~ amri abd rani ~

Khamis, Julai 15, 2010

K I T A

Kita sering terlupa masa dan ketika
kita ralip bercanda bersabda ketawa
kita kadang megah riak secubit harta
kita leka berangan menggunung cita

kita asyik sibuk mengejar deras dunia
kita selalu alpa arus bertingkah maya
kita biasa berkata panjang lagi nyawa
kita sedar hari makin menongkah usia


kita suka bercerita tentang kisah peribadi
kita gugup berdegup ada yang sakit mati
kita pandai melolos derma seikhlas hati
kita bisa lemas bertemasya hingga tiga pagi

Sedarkah kita
Hayat menerjah masa kental berlari
belakang tak tertoleh depan beronak duri
moga banyak terbekal mengusung pergi
perjalanan nan panjang di jemput MATI




~ amri abd rani ~

Selasa, Julai 13, 2010

Lelaki itu

Compang baju muka berbulu
sengih sendiri di hati terlucu
menyusur melintang yang lalu berbau
tak mandi tak sugi sudah berminggu
bersua di hilir bertemu di hulu
muak memandang orang di situ
jadi pendatang sejak dahulu

melangkah longlai kadang terburu
tiada jam tangan terbiar waktu
kemana nak pergi dia tak tahu
belakang dah lalu depan berliku
dalam tubuh kisah terbuku
muda dulu pernah merindu
kekasih hati idaman kalbu
hilang ghaib pergi berlalu
tinggal lah dia berlangkah pilu
malam hari berlagu syahdu
siang pula menung menunggu

selongkar sampah cari sesuatu
keroncong perut berlagu sendu
apa di sua dia tak menghidu
asal makanan ke mulut bertamu
tiada sudu tiada garfu
mamah melahap begitu bernafsu
sendawa kenyang di longkang beradu

di gelar gila tiga suku
hidup senang otak membeku
hanya nak makan itu yang tau
tiada duit tiada wang saku
tiada rumah tiada berpintu
tak macam kita benak berpacu
otak ada letak di siku
mengejar harta berpusu pusu
auta membelit tipu menipu
hidup nak kaya rasuah di pangku
solat sembahyang sunyi membisu
buat yang leka yang penting tak perlu
lupa janji pada yang SATU.......


~ amri abd rani ~

Isnin, Julai 12, 2010

Seloka FIFA

Semua mengejar mahu menyepak
berlari tangkas mahu menendang
silap gaya termakan sepak
tumbukan di mulut datang bertandang

persegi sempit empat penjuru
setiap bucu termengah meluru
tak dapat bola kepala digaru
di gelecek musuh jadi keliru

penjaga gol menjaga gawang
jangan terlepas bola ke dalam
kadang haloba melihat wang
dia pulak masuk ke "dalam"

bersungguh benar memungkas lawan
mimpinya satu menjulang menang
apa cara pun dia juangkan
hingga lawan terkenang kenang

lawan menyerang di bawah menunggu
kerah memulas segala ilmu
membiar lawan duduk termanggu
begitu lincah rentak gayamu

sepak mula menanduk di hujung
laju mengejar macam peluru
megah di puja menang di sanjung
si kalah menangis tidak berlagu

Paul si sotong jadi tok nujum
ramal pasukan yang mana menang
selesai sudah kisah di stadium
empat tahun lagi jika umur panjang


~ amri abd rani ~

Ahad, Julai 11, 2010

Lelaki

Lelaki
Ego mu kadang merah api tak terpadam
Lagi di ajuk tak termakan pujuk
Agaknya apa lagi yang tidak kau temu
Kering bibir bicara merayu
Injak kaki mu pemutus laku

Luah dan ungkap lah
Emosi kasih rindu dendam mu
Lantai fatamorgana mana yang kau pijak
Api cinta mana yang kau rasa bahangnya
Kian di ulit kian sombong tingkah mu
Ilmu cinta kasih mana yang kau cari

Lelaki
Engkau persis merak kayangan...tak tercapai tangan
Labuh bersimpuh di buana gagak di rimba
Aku sendiri terkenang kenang
Kata janji tidak dikota
Idaman hati menyeksa jiwa

Lelaki
Emping gadis mana lagi yang kau cari
Lilin cinta ku tergaung jauh dibenci mu
Aku yang dulu pernah hadir mewarnai jendela mu
Kini terjelepok di usir tanpa simpati
Indahnya lukisan cinta mu dulu

Lelaki
Engkau adam engkaulah imam
Lapangkan dada mu....aku ingin bermakmum
Agung mimbar mu memekar layu silu ku
Kudrat empat mu terdinding resah ku
Ibarat berpaut di tugu yang jitu

Lelaki
Engkau hadaplah sirna hati mu merenung ku
Longgarkan lah keakuan dan ego mu
Ajaklah perahu cinta agung mu dayung dampingi ku
Kelopak jiwa ini terlalu menagih mekar bunga kasih mu
Izinkan aku bertapa di nurani tulus mu...SELAMANYA



~ amri abd rani ~

Sabtu, Julai 10, 2010

Agungan dari Seribahasa dan Nini

Dari SeriBahasa.













Dari Nini



Terima kasih buat mu berdua
bagi ku apa jua yang di sua
hadiah teragung tadah tangan terbuka
kerna jiwa yang beri lebih mulia
dari yang terima....
aku belum sedia
balas bungkusan sahabat tercinta
degup getar jiwa
tak tercapai masa ketika.......



p/s : Nini, belum trpikir tag nama.

~ amri abd rani ~

Jumaat, Julai 09, 2010

Perempuan

Perempuan
Engkau mewangi di laman berahi
Rias diri bukan tontonan
Edah usia usah persiakan
Menyusuri likuan ombak hangat yang ganas
Pintal lah benak akal mu dengan faedah
Usah alpa menongkah mulusnya arus
Asah peribadi kental sikap dan sifat
Nescaya insan duniawi kan terpikat


Puaskah jika sekuntum bunga
Engkau lambakkan
Raja menyantap engkau relakan
Esok lembut wajah mu bertukar muram
Miskin raga mu di hari mendatang
Perih bibir mu tertosok sembilu
Uncang jiwa mu kosong pedoman
Anting emas mu berlagu sendu
Nanti diri sendiri bersalut malu


Perempuan
Enak mimpi jangan permainkan
Resah dada mu bergumpal dendam
Engkau dipuja cuma pujukan
Milik diri jadi tebusan
Pusakai lah iman serta kesyukuran
Upih riwayat mu takkan bergoncang
Anbia dan Nabi jadi sandaran
Nyata jalan mu bersuluh TERANG........


~ amri abd rani ~

Selasa, Julai 06, 2010

Dosa

Semalam
tika lemas di mujahadah rumah Mu
mengufuk adi pada kiblat Agung Mu
berdetak kerak hati
legam hanyirnya dosa
membarah di jiwa
menanah di raga


Diam sejadah tak terasa indah
dalam khusyuk diri bergundah
melerai sesat berfirasat madah
badai mengamuk nubari parah
benak meronta kecamuk resah


Mana lagi kan ku bawa
rabak yang robek ini
mana lagi kan ku sembah
roboh yang rebah ini
kalau tidak pada Mu
aku lah si tempang yang pincang
aku lah si puntung yang rentung


Ya ALLAH
Sirami lah tangan gersang dengan ampunan Mu
aku mahu.......aku rindu
berlabuh sujud di suci kaki Mu
bersauh megah di mega nur kasih Mu
rindunya aku bersapa Mu di MIZAN nanti
dalam SENYUM.......................




~ amri abd rani ~

Isnin, Julai 05, 2010

Agungan dari Suhana














Soklan: apa name blog anda n nape letak name tu
Blog aku nama PuisiPakwi kerana anak sedara menggelar ku dgn panggilan itu.
Mungkin juga terasa ingin menjenama nama tersebut....!!! perasan...

Soklan: apa name url blog n darimana dtg nya idea tu
URL blog ku http://puisipakwi.blogspot.com/ , juga dari panggilan anak sedara.

Soklan: apa method dalam penulisan anda?
Berkisah diri sendiri, pengalaman, persekitaran , ketuhanan, keluarga,
terlalu luas mahu diungkapkan.

Soklan: pernah terasa nak hapuskan blog? sebab musababnye?
Belum dapat menjawab, terlalu banyak resah dan lelah dalam diri,
mungkin suatu hari mati saja yang bisa tertutup blog ini.....
semua kemungkinan.....tak pasti. ALLAH jua Maha Mengetahui.

Soklan: pernah ahli keluarga baca blog anda?
Yang tersayang dunia akhirat selalu juga bertandang membelek belek resah suaminya.

Soklan: apa perasaan anda bila ada orang kata blog anda buruk sedangkan orang lain cakap blog anda cantik
Terima seadanya. Yang baik datang dari ALLAH, yang jelek ada lah perbuatan ku.

Soklan: bila blog anda diberanakkan?
23 Jun 2010.

Soklan: siapa orang pertama yang tahu anda ade blog
Yang tersayang juga, segalanya dia yang pertama selain dari ALLAH.

Sukar untuk melakukan amanah ini, mohon maaf dengan yang empunya award.





~ amri abd rani ~

Ahad, Julai 04, 2010

Seloka Tganu Kite.PUAHSANG

Di kala anging piung piung
puahsangnya duk cokoh atah lambo
saing saing gi duane dok tau
meseh dok......apa dok
tinggal aku seko diri tukkat dagu
dok reti base ngguh


duk atah gere pong supe ye gok
abih seme pah mana hala
kabor nok mari dumoh
lebong belaka
gi skodeng dok tau puok puok ning
aku pulok tudoh saing saing
wat dosa kering


Nok derettuh bekok mata doh
tahik mata tepek wek
kekgi bekok cobbong dok pasa pasa
kalu comey dok apa
macang brahing hok dok sendik
nok wat mende........?
barambang ngguh


gining la aku gok kalu petang nok garik
saing dok duli sokmo
kalu basat......kalu merepak
tadok saing ingak
base mata duitang gok
gitu la.......


Malah ah aku nok layang
baik ambik air semayang
gi sejid.....kekgi orang nok bang
buleh gok pahala seppayang
semboh TUHANG..............



~ amri abd rani ~

Jumaat, Julai 02, 2010

Hati Puisipakwi.blogspot.com



Format lah hati ku
jika bersedih pilu di kalbu
copy and paste jiwa ku
andai tawa riang irama berlagu
erase nurani ku
andai hanya tahu aku sakiti mu


Aku ingin blogwalking bersama mu
aku ingin exchange link rindu mu
betapa indahnya
dalam diam hati ini termampu follow mu


Maafkanlah aku
andai tak terdaya menjejak langkah link mu
tak berkuasa mencoret komen pada post mu
aku hati yang gundah tanpa feed RSS
hati yang gulana tanpa visitor


Marilah beriba di shoutmix ku
berketik di nuffnang ku
berberanda di feedjit ku
aku seru....aku rindu
ukhwah traffic mu........


~ amri abd rani ~

FaceBook

"boringgg nyeeerrr"..."cape nk ikowtt...?"
"cekolah sok..hehe?...."cedihnya aq....."
Dinding FB mu mengetuk melambai tamu
berpusu datang....mencoret sakan
rai teman sambil berdendang
ada yang tulus benar
ada yang mengada cerita
ada yang melimpah idea
ada yang mengada ngada


Dalam hirup pikuk begitu
ralit melayar bahtera alamaya tak bertepi
ada yang mengerling sinis...tak nak bercerita
tentang diri dan rencah hati
mungkin tajuk tak berkenan lagi
mungkin jelak muak di pelosok hati
lihat gelagat insan
sakit di mata sakit di hati.....?


Sekali kau terperosok di sini
bergendang lah
kawan nak dengar lunak suara mu
kawan nak lihat tunas fikir mu
bukan kah segala itu
pembuka selera rempah ratus kehidupan
silaturrahim kan bersambungan


Di sini
bukan pusara kita semadi
bukan gua bertapa menyendiri
bertegur lah
bersapa lah
jangan di kelam malam kau cuba sakiti
rosak binasa tubuh sendiri


Di sini
mungkin tempat menyambung zuriat
buat berfikir kalam yang sihat
jangan mengumpat berbuat jahat
agar kita selamat akhirat......


~ amri abd rani ~
Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.