Isnin, Ogos 30, 2010

Anak M e r d e k a

Hei kamu anak merdeka
sedarkah kamu di mana berada
di bumi bertuah....tanah tercinta
di bumi keramat....warisan bonda

Hei kamu anak merdeka
lapangkan dada lapangkan jiwa
merendah diri di mana mana
hormat pada yang tua tua

Hei kamu anak merdeka
pelita hidup jangan teralpa
menjadi wawasan capai segala
Menjana Transformasi 1Malaysia

Hei kamu anak merdeka
jangan kamu mula melupa
dulu musuh di depan mata
kini di selimut dia berada

Hei kamu anak merdeka
jangan khayal jangan leka
merdeka ini punya cerita
bumi ini penuh sengketa
Raja kita dihina cela
porak peranda rakyat jelata
bernanah hanyir hunus senjata
tangis berdarah dahulu kala


~ amri abd rani ~

Jumaat, Ogos 27, 2010

S a h u r

Dah lama tak bersahur dengan bonda
di Ramadhan benderang ini
itulah pertama kali
setelah Ramadhan sudah separuh berlari

Abah sudah lama menyendiri
mengusung pergi mengadap Ilahi
bersembah diri pada Pencipta alam ini
namun bonda gagah menyusun jari
menggetap hidup yang hadir
menggenap usia yang zahir

Aku terkadang diam dalam fikir
tersapa benak di celah lembut bayu semilir
hidup mendatang dalam tua usang yang menzahir
betapa banyak waktu dan ketika yang dibazir
dalam senang dalam fakir
meredah maya menyulam takdir....


~ amri abd rani ~

Rabu, Ogos 25, 2010

Petang Ramadhan

Petang tadi aku punya banyak masa
semua kerja menempel beres belaka
"start" kereta pergi ambil isteri tercinta
dia kerja belakang sekolah dekat kota
bangunan Celcom tingkat tiga naik tangga

Pandu menuju Bazaar Ramadhan tepi jalan
cantik tersusun depan masjid Bandar Kuantan
cari lauk intai kuih serempak rakan
nafsu gelora semua selera tak makan seharian
banyak beli penuh pegang keliling tangan
sampai tak perasan isteri sendiri sebelah kanan

Balik rumah waktu berbuka lambat lagi
pasang rekod lagu lama baru beli
bunyi klasik sok sek sok sek sengal gigi
anak berlunjur letih penat depan tv
cerita kartun upin ipin mereka cari
gelak riuh anak anak senang hati
ketawa sakan lawak sangat tak kering gusi

Terdengar azan sayup kejauhan panggil sembahyang
kita sibuk cari gelas susun pinggan
makan nasi makan ayam perut kenyang
cari candu bersandar khayal tepi tiang
lepaskan gian...sebatang demi sebatang
terfikir juga "bila lah tabiat nak menghilang?"

Kuih berlambak cubit sikit yang lain simpan
konon berniat petang esok nak ulang makan
itu lah perangai orang puasa selera sakan
kalau boleh tauke bazaar dia nak telan...


~ amri abd rani ~

Isnin, Ogos 23, 2010

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

Kita dah merdeka
hati masih terluka
jiwa masih derhaka
pada agama
pada nusa
pada bangsa

Kita dah berjaya
semangat kental perwira
api digenggam menjadi bara
menghunus musuh di batas persada
tapi merempit di jalanraya
membuat onar dalam negara

Kita dah menang
tapi banyak yang hilang
tanah sebidang jadi sekangkang
siang malam asyik bersidang
ralit bicara serang menyerang
tengah bandar punyaan orang
ada duduk di rumah panjang
ada duduk di belakang belakang

Kita jangan kalah
memang terpuji sifat mengalah
tapi jika sering beralah
orang lain akan mengolah
seolah olah terkena tulah
maruah pertiwi kan tinggal sebilah


~ amri abd rani ~

Jumaat, Ogos 20, 2010

Jalanan

Jalanan panjang mu teranjau duri
apa kau ingin apa kau impi
cuma kau yang mengerti
mungkin hanya tinggal mimpi
mungkin telah jadi hakiki

Jalanan panjang mu teranjau sepi
apa kau cinta apa kau hajati
cuma kau yang fahami
mungkin kisah kekasih hati
mungkin sedih ditinggal pergi

Jalanan panjang mu teranjau pilu
apa kau mahu apa kau rindu
cuma kau yang tahu
mungkin ada yang tak ketemu
mungkin ada pergi berlalu

Jalanan panjang mu seribu ambisi
apa kau kejar apa kau cari
cuma kau yang pasti
mungkin bertemu di Syurga Firdausi
mungkin berpanas di lembah berapi


~ amri abd rani ~

Khamis, Ogos 19, 2010

Visitor (Flag Map)

Asalamualaikum.....

Malam ni aku tak nak berseloka, bersajak juga berpuisi...
malam esok lah...
malam ni aku nak beritahu 1 tips....
mungkin penting pada engkorang....mungkin engkorang dah tau...
kalau engkorang rasa penting, engkorang buat laa...
jumlah visitor ni bukan apa, semangat bagi kita utk terus berblog....
tips ni berkaitan dgn Visitor (Flag Map)...
Lagi pun, semenjak 2 bulan aku duduk kat PUISIPAKWI ni...
bila blogwalking, terjumpa Visitor yg tak ada singkatan nama negara...
dan pageview tak ada dan flag negara tu ada 8 je....
sedangkan pelawat diorng ramai....


Di atas tu ialah kebanyakan "Visitors" yg aku tengok pada blog engkorang....
tak ada singkatan nama negara dan pageview tak ada....
dan juga jumlah bendera tu kdg2 ada 8 je....
sedangkan pelawat engkorang ramai.....
kesilapan berlaku masa engkorang setting dulu....
tapi bila dah ramai Visitor.....sampai berpuluh2 ribu.....
sayang nak buat yg lain sebab nanti counter tu akan kosong semula...
seolah2 baru dalam blog ni....
Visitor di atas adalah yang asal di blog Baranglamaantik aku....
selepas aku godek2 modified.....
terjadi lah mcm kat bawah ni....


engkorang nampak tak ? ada singkatan nama negara....
dan jumlah bendera makin bertambah dan ada pageview....
jumlah maksimum bagi flag/bendera yg boleh dipaparkan ialah 248...
tu untuk free version....column plak ada 3 column....
terpulang pada engkorang nak buat berapa column....
apa yang perlu engkorang buat ialah....

ini ialah kod yg lama :


kod baru yang menjadikan jumlah flag/bendera bertambah....
ada singkatan nama negara dan ada pageview, ialah :


nampak tak huruf berwarna merah menunjukkan 2..maksudnya 2 column...
kalau engkorang nak 3 column..engkorang tukar pada nombor 3...
nombor 248 itu ialah jumlah bendera maksimum yang akan dipaparkan pada Visitor tu....
tapi engkorang copy kod di bawah dulu, gantikan yg lama...
masukkan pada kod visitor engkorang bermula dari perkataan column.
engkorang buang kod engkorang bermula dari perkataan column tu dan gantikan
dengan kod di bawah ni....
AMARAN : engkorang copy bermula dari perkataan column je...jgn copy semua kod aku yg kat atas tu...nanti jumlah pelawat blog aku plak yg keluar kat VISITOR engkorang...!!!!


selamat mencuba...!!!

p/s : utk safety, engkorang copy dulu kod visitor engkorang...
mana tau nanti hilang semua...aku tak bertanggungjawab...hihihi


Selasa, Ogos 17, 2010

Sana

Di sana nanti
selepas sangkakala kiamat ke dua berbunyi
semua bangun terbungkam dalam kecamuk celaru
semua berlangkah cemas mengufuk Yang Satu
muda semua tak tersapa tua
tirai tabir menganga terbuka
tunjuk dosa tunjuk pahala

Di sana nanti
jalan sendiri cari Nabi
pinta berumat dalam keramat pohon syafaat
panas menongkah hangat terkebil sejengkal mentari
peluh bertingkah sesal hadir dalam diri
resah berhitung amal maaruf milik peribadi
semua hadir tiada kecuali
serabut sibuk urusan sendiri

Di sana nanti
kita berdacing menimbang sukat kilat dan karat
menghitung diri memohon berkat memohon rahmat
berat di kanan ringan di kiri yang kita cari
mekar menguntum segar mengharum jelma syurgawi
tanda amalan diterima Allah Rabul Izzati

Di sana nanti
kita bertiti terlalu halus kalah lidi
laju terlepas terbang melayang bawa ke seberang
amalan iman ikhlas pegangan jadi sandaran
Firdausi menunggu di gerbang pintu bersembah salam
masuklah kalian bersenda gurau di tiada malam
berbahagia lah insan hamba sejahtera sekelian alam

Di sana nanti
kecundang di tengah perit terbakar lembah membaham
berhujan keringat gelincir terbabas api Jahannam
banyak nodamu terpacul muncul di masa silam
hingga kau tewas ke lembah hina di dalam kelam
tinggal lah engkau di batu menyala tak leka diam
hadiah untuk mu hamba derhaka siang dan malam...


~ amri abd rani ~

Ahad, Ogos 15, 2010

B L O G G E R

Engkau rakan engkau teman
melingkar gigih atur kehidupan
jalanan kadang lemah sendirian
obor semangatmu bagai dian
mencari berita mencipta bahan
engkau hidang untuk santapan
minda kosong penuh makanan

Apa kau cari apa kau mahu
kadang tingkahmu terbongkar nafsu
ingin berseru memberitahu
ada berita dalam uncangmu
penuh kisah segala ilmu
sebalik cerita "entry" terbaru

Kadang sejenak fikir bertamu
bergundah resah membelai buntu
kita di sini terkejar waktu
tergenggam mahu tak kunjung jemu
selalu ada pelawat di pintu
berpesan indah berbahasa bisu

Di sini kita kosong upah
tapi menggigih sebar warkah
kadang berikhlas menjaja hadiah
ingin majlis tambah meriah
suci niatmu... aku pun pasrah
moga engkau semakin gagah
jalin ikatan tergerbang ukhuwah
jangan jatuh tersembam rebah...


~ amri abd rani ~

Sabtu, Ogos 14, 2010

Agungan dari Dc










Award dari Dc
terima kasih kerana memberi
tanda persahabatan mula bersemi
mungkin jadi tradisi
pada bloggers yang muda mudi
anugerahkan award berpesta kini
namun terdetik juga di sudut hati
apa lah yang aku nak bagi
sehingga kini tercari cari

akhirnya aku terfikir
tak mahu tipu tak mahu mungkir
semua sahabat yang singgah meminggir
aku anugerahkan semua agungan
yang aku dapat dari teman
ambillah semua aku ikhlas kan
moga jadi kenang kenangan
bertambah berkat di bulan Ramadhan.....





~ amri abd rani ~

Jumaat, Ogos 13, 2010

Isteri Ku

Ramadhan yang ceria
isteri ku kerja
letih hadap komputer letih puasa
pergi kerja petang balik tergesa
singgah bazar penuh manusia
cuma nak cari kuih sebiji dua
buat sendiri tak terkejar masa
lagi pun dia memang tak biasa
tak pandai pun ya.........(hehehe)

Malam terawih bersama
aku jadi imam jadi ketua
anak anak ikut saja
memang tak lawan orang tua
senanglah aku...kurang sakit kepala
moga sampai bila bila
dia orang menurut segala
selagi tak canggah Tuhan Yang Maha Esa

Sebelum subuh dah di dapur
panaskan lauk hangatkan sayur
maklumlah nak bersahur
kalau tak....subuh dekat nak Zuhur..........(hehe...acah je)

Begitulah perempuan
kasih sayang sepanjang zaman
sanggup segala demi keluarga idaman
menurut perintah tak pernah lawan
moga jodoh berpanjangan


~ amri abd rani ~

Khamis, Ogos 12, 2010

Umat

Bangunlah wahai umat
demi saat
demi sahabat
demi matlamat
aku beramanat

Bangunlah wahai umat
cari nikmat
cari berkat
dalam rakaat
dalam ibadat

Bangunlah wahai umat
jangan lewat
jangan sesat
penuh kudrat
penuh taubat

Bangunlah wahai umat
Nabi tunggu dengan syafaat
Nabi tunggu penuh keramat
Masyar nanti di akhirat


~ amri abd rani ~

Isnin, Ogos 09, 2010

Ramadhan

Ahlan Wasahlan Ramadhan
mendakap mu lagi seribu bulan
menangis lagi di mimbar sedu sedan
berpaut lagi dilimpah mewah ampunan
bulan yang sabar di IMSAK tahan telan
bulan yang dahaga di MAGHRIB tunggu azan

Tertutup panas neraka
terbuka gerbang rindu syurga
terikat syaitan bermaharajalela
terlarang hawa nafsu kekanda
terhalang peluk goda adinda

Nafsu tertahan demi Tuhan
dalamnya terkandung dua keriangan
ketika berbuka dengan kesyukuran
jumpa Tuhan di hari kemudian

Wangi mulut mu terkalah kasturi
lapar jadi sabar di siang hari
sunat bersolat serta mengaji di malam sunyi
sembahyang terawih jangan terlupa dikau hampiri
malam yang dirahmati penuh segar
malam yang ditunggu penuh sabar
mengantuk lena jangan tak sedar
nanti terlepas Lailatulqadar

Terkirim rahmat yang bangun sahur
jamah sedikit esokkan subur
mengajar iman agar terluhur
doa sejahtera mu akan di mabrur
Moga Al-Mubarak ini penuh terisi
ibadat wajib sebagaimana Nabi
lekaslah buat jangan tangisi
ia menjelma setahun sekali...


~ amri abd rani ~

Khamis, Ogos 05, 2010

Bawa Ibu

Esok aku ke Perak
bawa ibu ke teratak adik jalan berarak
agaknya rindu ibu sudah berkerak
dengan anaknya ingin bual berborak

Dua hari di hujung minggu bukannya lama
kadang letih memandu kadang selsema
tapi demi ibu...sanggup pun menjelma
kasih ibu selama lama

Ibu aku sebenarnya telah tua
mana mungkin biar sendiri bawa kereta
tempat jauh dua negeri sebalik sana
jika ibu pergi sendiri alamat entah kemana

Itulah amanah selagi ibu ada
menjadi tugas ke mana saja
moga tubuh semakin kuat dan sasa
menjadi hamba pada ibu tercinta


~ amri abd rani ~

Rabu, Ogos 04, 2010

KAPCHAI

Sewaktu dulu suka jenguk intai intai
memang minat suka sangat nak pakai
dari kecil sampai besar cinta tersemai
masuk kampung masuk bandar cari KAPCHAI

Penat melilau aku tersandar tepi pantai
letih berpeluh tubuh aku dah longlai
kena memilih cari menilai yang sesuai
tak ada duit tabung lama aku tibai


dapat juga KAPCHAI lama dari otai
dia tukang kutip cari barang terpakai
aku tilik aku belek selai selai
sekali pandang senyum sendiri macam bangkai

Balik rumah orang tengok teruk terbarai
riuh rendah banyak sibuk mulut murai
kawan datang tenung renung tengok rantai
ada juga bagi idea berlagak pandai

Selepas bincang ada idea aku pertikai
banyak juga saranan kawan aku semai
aku gosok aku cat aku sidai
macam baru kilat memancar kena belai

semua datang tauke rambai abang misai
yang nak marah cuba naik kaki tak sampai
aku risau aku takut aku bantai
dia buat KAPCHAI ku macam banzai


Petang petang aku ronda ramai ramai
memang seronok memang bahagia sungguh santai
ada makwe senyum sengih lambai lambai
mungkin balik mandi manda dari sungai

Motor KAPCHAI kena jaga jangan cuai
barang antik harta klasik warna permai
bawa perlahan "slow motion" tak boleh lalai
nanti terbabas punah ranah hancur berkecai
langgar bertembung tuan melambung KAPCHAI terelai
air mata macam hujan leleh berderai


~ amri abd rani ~

Gambar dan idea ehsan dari AUR : http://taibrazak.blogspot.com/

Isnin, Ogos 02, 2010

Tadi Pagi

Tadi pagi aku turun ke bumi
ada cinta berputik
ada rasa ingin ku petik
jiwa saujana sayup pandangan
hati bergetar terkontang siang
keluh berkesah resah kembara

Tadi pagi aku naik ke langit
kesayupan cerah alam
termegah ciptaan Tuhan
angin berkocak menyapa lembut
'laut bertiup membasah umbut
rendang sayembara kelana

Tadi pagi aku daki gunung
sejuk melingkar hati kudus
aroma membongkar rahsia mulus
rindu membakar cinta tulus
dalam gelumang pawana dunia
kita redha segala
dalam meremang murka Tuhan
kita leka semua......


~ amri abd rani ~

Ahad, Ogos 01, 2010

Bangsa Ku

Aku persembahkan Bangsa Ku..
moga kau tenung...
moga kau renung...
jangan sampai termenung....

Dulu pencak silat mu lincah
rentak tari mu terserlah
keris kau hunus ..... terbunuh
lembing kau baling ..... terbaring
tombak kau hentak ..... terpacak
di mana pun musuh berwajah
takkan terlawan setia si Tuah
Jebat derhaka pun rebah

Dulu kita saling bertingkah
kejar harta kejar darjah
Raja bertakhta yang kita sembah
dibuat main ...... di buat mudah
petualang barua berpaling tadah
pembelot bacul haram jadah
semua cerita mereka hebah
segala rahsia mereka dedah
harapkan pagar..... pagar pun bergundah
sudahnya rebah terima padah
kita terjajah

Dulu meredah rimba lembah bernanah
semangat membara berdiri gagah
tak diam duduk cari bedebah
tak gentar takut musuh diparah
tangan dan tubuh bersalut marah
bersatu kita tatang maruah
di bumi keramat darah tertumpah
akhirnya kita merdeka megah

Melayu
tak usah mendabik
tak usah bertempik
langkah kanan mu telah terobek
tangkas silat mu sudahpun carik
Tamingsari mu dah mula sompek
jiwa pendekar mu dah jadi lembik

Kau mesti bangun dari singgahsana
kau mesti besar mencecah maya
kau mesti hebat mengubah semua
kau mesti ingat sejarah lama
pernah dulu Tuah bermadah seloka
Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Melayu
moga engkau tidak melayu
jatuh tersembam berteman sayu


~ amri abd rani ~
Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.