Selasa, Ogos 07, 2018

Tuhan ...

Tuhan
Tidak ada yang Kau beri
Kalau cuma rasa sakit
Kalau cuma rasa perit
Melainkan ujian dan dugaan

Tuhan
Tidak ada yang Kau peduli
Kalau cuma rasa pedih
Kalau cuma rasa sedih
Melainkan syukur dan keinsafan

Tuhan
Tidak ada di sini
Di pelosok sanubari
Di teratak mata hati
Melainkan doa dan harapan
Melainkan sembah dan salam

Benderangkan jalanan
Permudahkan urusan
Kuatkan iman
Amin....

amri abd rani








Isnin, Ogos 14, 2017

Rossaadah



Lama tak menyapa nama ini
di bibir dan bicara
di hati dan jiwa
sepanjang meniti usia dan ketika
tak berubah
tak mengubah

Ah.......
kisah lama tersentuh jiwa
episod sedih mendamba lara
serambi terpinggir amukan kecewa
semuanya kerana aku
mengejar sebuah bebayang rindu
hati dan perasaan
seorang perempuan.

Dah......
aku tinggalkan kau di situ
kau yang tak pernah ku anggap seteru
entah ke mana berlalu
entah ke mana merayu
mendakap menara syahdu mu
mengucup cinta layu mu

penghujung tersisa waktu ini
terasa mahu meluah sekelumit rasa
memohon maaf untuk secubit dan segalanya
kau redha dan kau terimalah
takdir cinta kita
percayalah...
Allah Maha Perancang dan Penyayang
hikmah dan rahmah bersilih datang
menepung tawar cinta kecundang.....

amri abd rani




Ahad, April 02, 2017

Autisme

Kadang bercakap sorang sorang
Kadang sorang sorang bercakap
Bercerita diri sendiri
Diri sendiri mendengar cerita
Cerita diolah direka-reka
Cerita yang difikir
Fikir untuk bercerita

Kita kadang membebel sendiri
Kita merobek buruk baik sanubari
Kita genggam harum wangi dalam hati
Kita menerajang cari hasad dengki
Kita berpayah mengenal diri
Kita lah autisme
Saban waktu berlingkar hidup
Dalam dunia makin redup
Dalam hidup makin kuncup

Jika kalian punya impian
Inginkah autisme jadi pilihan
Memberi bonda berganda pahala
Didakap mesra bonda tercinta
Di sana menanti cahaya syurga.....

amri abd rani


Khamis, Mac 02, 2017

Habis

Tahun lepas
patutnya aku habis
bawa kapan secebis

Tahun lepas
patutnya aku habis
bawa pahala sehiris

Tahun lepas
patutnya aku habis
bawa dosa terguris

Tahun lepas
patutnya aku habis
tinggal kalian menangis

Tahun lepas
patutnya aku habis
namun takdir tertulis
ada lagi aku melukis
sisa hidup berbaki segaris.....


amri abd rani




Sabtu, Mei 02, 2015

Tiada Naik Gaji

Tiada naik gaji
Cuma di beri 3 hari cuti
Ibubapa mertua yang tak kembali

Tiada naik gaji
kalau gaji ditambah lagi
Harga barang makin berapi

Tiada naik gaji
pergi kedai beli yang nak basi
masa bayar kena juga GST

Tiada naik gaji
Kerja siap mulut menyanyi
Tak siap kerja orang berbunyi

Tiada naik gaji
Semalam tak sama hari ini
Perlu jimat masak sendiri

Tiada naik gaji
Henti berhutang cuba berdikari
Pertengahan bulan tak sakit diri

Tiada naik gaji
Cekal jiwa sabar di hati
ada rahmat kan Tuhan beri


amri abd rani





Jumaat, April 17, 2015

Aku Tidak Tahu

Bilakah mati menjengah
Mengintai ngintai celah rumah
Berlunjur di tanah pamah
Aku tidak tahu

Jadi berhenti
Sebar fitnah
Sakiti sebelah rumah
hindari buat marah
Buang yang tak ada faedah
Sebelum mati datang ziarah

Aku tidak tahu
Kerana tidak diberitahu
Tarikh kiamat hayat jantungku
Mati itu setia menunggu
Tiada penat tiada jemu
Nanti tiba janji ajal mu
Takkan engkau sempat merayu
Memohon sesaat pinta hidupmu
Dikembalikan macam dahulu
Dikembalikan dalam syahdu....

amri abd rani

Selasa, Disember 30, 2014

BANJIR

Bukan mentari tak cukup cerah
Awan hitam terlalu gagah
Menyusur berarak mencurah    
Membasah di bawah bawah
Tenggelam di sawah sawah
Menghuru hara dalam pasrah

Bukan sungai tak cukup pasak
Air di hulu membuak buak
Menghentam kuala penuh semak
Mencuci cuci dosa yang senak
Mengikis ngikis daki yang tamak
Bermaharaja dalam gelisah

Bukan bala bukan musibah
Cuma menguji iman yang tabah
Cuma menduga hati bermadah
Takdir Allah tak siapa sanggah
Kepala tertunduk memohon sembah
Ku terima ini seribu hikmah
Ku terima ini seribu hidayah.....














amri abd rani
27dis2014
Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.