Ahad, Oktober 31, 2010

Aku tetamu kecil

sedang mereka leka hanyut
pada acara seribu denyut
riuh bergendangan
selerak makanan
terabur hilai pekikan
mereka tak nampak aku

sedang mereka berkira kira
siapa mahu dipanggil
siapa mahu ditampil
berjela nama
bergulung kertas
mereka tiada nama ku

sedang mereka asyik berpesta
beronggeng inang John Travolta
kinja kanan kinja kiri
senandung irama Elvis Presley
gemuruh besar dewan
mereka tak peduli aku

aku tetamu kecil
indah dan cukup bahagia
jika diajak cuma berbicara....

~ amri abd rani ~

Jumaat, Oktober 29, 2010

Kau kau aku aku

Engkau kah kaca yang terhempas
menyinar ganas
memulas senak dan waras
seorang aku yang dampar terkandas
dalam lemas.....?

biar malam berganti siang
biar siang kelam benderang
namun undur bukan zikir ku
zikir ku satu
pantang diseru

engkau atur susur alur mu
biar bernafas ke jingga ungu
buat menongkat tiang layar mu
usah peduli seteru membayu
jengah sini ambil zikir ku
kau kau aku aku

~ amri abd rani ~

* cari gambar yg sesuai xjumpa, terjumpa dlm "omputeh" pulak....

Rabu, Oktober 27, 2010

B a h a s a

kita mengajar penuh bahasa
kita mendidik ilmu bahasa
kita berbahasa seribu bahasa
bahasa kita jiwa bangsa
bangsa kita reti bahasa

di perjalanan keramat ini ingin aku berbahasa
pada mu anak didik ku yang terlupa bahasa
pada mu anak didik ku yang mengemis bahasa
pada mu anak didik ku yang menghina bahasa
bahasa ini lah sejarah kita
bahasa ini lah warisan kita
bahasa ini lah perjuangan kita
bahasa ini lah kemerdekaan kita
bahasa ini lah maruah kita

bahasa mana lagi yang kau mahu
bahasa mana lagi yang kau rindu
bahasa ini lah yang bawa ke mercu
bahasa ini lah kemegahan berpacu
bahasa ini lah membesarkan mu

aku bimbang suatu masa kau buta bahasa
aku bimbang suatu tika kau tak reti bahasa
bahasa mu nanti bahasa rojak
bahasa mu nanti bahasa haprak
bahasa mu nanti bahasa keladak
bahasa mu nanti hanya menang sorak...

~ amri abd rani ~

Isnin, Oktober 25, 2010

Dulu

dulu telapak kaki ku sebesar dua jari
ibu berkata suatu hari
dulu aku suka menghisap jari
ibu senyum ternampak gigi
dulu selalu menangis mengalir airmata
ibu berbicara terguris luka
dulu aku degil melawan kata
ibu ketar geram suara
dulu aku nakal menyakat segala
ibu merenung mata berkaca
dulu aku rajin menyiram bunga
ibu melamun terimbau ninda
dulu basah seluarku bila penyapu menghala
ibu tersengih ceria di muka
dulu aku suka mengambil duitnya
ibu mengangguk tanda mengiya
dulu aku solat bila ditanya
ibu geram merah menyinga
dulu aku seribu cerita
ibu ingat cuma sepertiga

ibu
indahnya dulu
rasa ingin dan teramat mahu
dalam perutmu lena nyaman beradu..

~ amri abd rani ~

Jumaat, Oktober 22, 2010

Jumaat

Jumaat dulu
aku terpandang sekujur jenazah
terlena tenang menuju barzakh
aku yang susah
aku yang gelisah
tak senang duduk berpeluh basah
menghitung diri menghitung kisah
takut pun datang bergetar resah
di dalam kubur dipalu sesah

Jumaat ini
kita berinternet terlupa munajat
aku pun sama aku pun liat
sedikit nasihat sekadar mengingat
untuk diri ku dan semua umat
agar tak jauh kita tersesat
kuatkan amal kuatkan ibadat

Jumaat depan
mungkin terkafan
tinggallah kawan tinggallah taulan
pergilah sayang pergilah intan
tidur sendiri tiada teman
senyap dan sunyi di bawah nisan
moga berbahagia di dalam aman
moga amal diterima Tuhan...

~ amri abd rani ~

Selasa, Oktober 19, 2010

Video

Malam ni nk bagi blogger semua tengok anak Pakwi jadi MAK DARA.


Isnin, Oktober 18, 2010

Panggilan Mu

semalam aku mengadap
dari Kuantan jalan beradab
agar tak dikata tiada adat
jumpa kawan jumpa sahabat
ingin menyahut panggilan keramat
jalanan jauh mencari berkat

segar mekar cahaya berseri
satu keluarga suami isteri
merai taulan hadir ke sisi
salam bersembah lincah berpuisi
memohon maaf tetamu hadiri
maafkan semua sakit di hati
berharap terkhilaf ampun mengampuni

pada mu sahabat aku berdoa
moga menang mendakap sinar
guna menyuluh kelam nan samar
capai mabrur semanis tamar

~ amri abd rani ~

majlis doa selamat sahabat : 17 Okt 2010

Sabtu, Oktober 16, 2010

B a j e t

semua terpaku
semua menunggu
mungkin ada yang baru
mungkin ada bonus bertamu
mungkin ada pelarasan ditemu

semua terbuku
semua terharu
hari hari kita pun berlalu
hari hari kita pun berliku
hari hari kita pun menderu
hari hari kita pun berpacu

usah diharap usah mengharap
engkau bajet gaji mu
engkau bajet kantung mu
ukur baju badan sendiri
usah biar nasi berkerak
nanti dapur antik mu tak berasap...

~ amri abd rani ~

Jumaat, Oktober 15, 2010

Pagi Menempah Senja

tika sejuk pagi di salju berhembus
mimpi tersentak
kumandang azan sayup sayupan
bingkas bangun rasa menyahut
lemas berdengung hanyut menyelimut

tika redup pagi di semalu menikus
jalan berarak
mentari serlah menganga merah
mengering bumi menghangat hati
gegas semangat terjah sekolah
malas ponteng ke lain arah

tika pikuk pagi di dedalu menipus
jiwa berkerak
hati menangis nurani teresak
melambai nyiur menyapa luhur
keras umbut langkah bersambut
deras mengatur jalan teratur

kejar mengejar dikejar
hambat menghambat dihambat
masa bersilang usia
usia menempah tua....

~ amri abd rani ~

Rabu, Oktober 13, 2010

Lusuh Dek Luluh Jalanan

melukah denai hidup kadang terundang peritan
jalanan depan belakang
tersepah jemu dan mahu
bibir berbicara....hati jenuh meronta
berperahu ke hulu...bermudik ke kuala
jelajah rimba menggunung belantara
tersimpuh temulang
namun redah jua....

mendatangi jingga sepi tika suka berulam duka
pelangi berbalam di celah telunjuk bernafsu
ada paruh terapuh...ada kepak terkopak
terbang gagah di angkasa terlupa kuasa
awan membiru berdikit jadi hitam legam
namun telan jua....

merenangi kilat di kelam siang nak turun hujan
meredah deras kocak sungai bertali arus
dayung rapuh kadang terpatah di lembut lembayung
hujan berpayung tak tergamit petir berdentum
sabung menyabung terlantar terang halilintar
jiwa tergetar nurani bergentar
namun basah jua....

lusuhnya aku dek luluh jalanan
menggapai amal dan noda
melahap pahala dan dosa
siang berkembang kiambang
malam kiambang tersimpul dendam....

~ amri abd rani ~


Isnin, Oktober 11, 2010

Sebuah Perkahwinan

Akad kau ikat
janji kau semat
di gemerlap tarikh keramat
tersimpul di mercu seribu amanat
terjunjung di bahu sejuta semangat

detik mekar cinta pertama
dari mata menyusur ke jiwa
tepuk sebelah berbalas cinta
ke jenjang pelamin lagak mahkota
megah nakhoda kemudi bahtera

ingatlah kau wahai perwira
di tengah sana laut bergelora
samudera ganas melambung segala
kocakan fitnah bermaharajalela
yakin sendiri iman di dada

sedarlah kau wahai jelita
usah menjeling bermain mata
dirimu tertawan sudah berpunya
setia di hati jujur membara
pasrah segala Tuhan Yang Esa...

~ amri abd rani ~


Khamis, Oktober 07, 2010

Sedar....?

dunia makin sempit
langkah perih menghimpit
laungan pekik terik menjerit
segar bugar jatuh sakit

nun jauh di belukar semak
ada syurga kita tak nampak
nun jauh di rimba merak
ada neraka kita tak elak

kita jerumus sasar
dosa banyak kita tak sedar
kita bangga menggegar
noda banyak kita tak dengar

mana tuju mu....?
kawah berapi.....lautan membiru
hunus tingkah mu
kalah mati.....Tuhan yang tahu....

~ amri abd rani ~


Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.