Selasa, Februari 22, 2011

Kemana Berlari

Kita pun menyusur pelangi bisu
wangian indah ombak
mengocak sutera bicara
nyaman hempasan bayu
melunak bibir nan manja
ahh...terasa mesra mengada suara

kian lama terkurung di sini
terimbau serpihan nokhtah
pernah dulu kau kirim bersama warkah
tersusun kata merobek punah
manis pujangga mencebik wajah
pentingnya diri mu
aku, kau buat tak kisah

kini rindu bersuara semula
menyapa rasa menyapa jiwa
terasa sebak mata mengalir
terasa sesak nafas terakhir
pantai yang dulu bersulam tamu
tinggal cuma
pepasir sendirian mengidam rindu

~ amri abd rani ~


Sabtu, Februari 19, 2011

Meronggeng Pawana

Luluh bersimpuh
tari inang menggobek rempuh
sekujur tubuh
mendaki langit keras gemuruh
bongkar terajang bebukau keluh
berpiuh

pegal tersipu wajah
ranjau berdarah kadang bernanah
bersiul pawana mengejek langkah
ronggeng terselimut seribu rencah
memintal lena nan resah
bergundah

melolos deru yang berpacu
jangan semudah mendakap rindu
terbungkam rebah laut membiru
menghitam tabah tanah berlagu
tak siapa tahu...

~ amri abd rani ~

Isnin, Februari 14, 2011

Ya Junjungan

Ya Nabi periwayat qalam
Ya Rasul penyelamat alam
Ya Muhammad pembawa salam
Ya Rasulullah sempurnalah Islam

syahadah mu benar
ibadah mu benar
sunnah mu benar
kalimah mu benar

andai tersesat di Mashar nanti
pimpinlah aku ke pintu firdausi
andai terkurang timbang sukat ku
hulurlah syafaat buat ummat mu
selawat dan salam ku kirim rindu
buat mu insan yang pernah bertamu

aku di sini
termimpi mimpi
bersembah salam dengan mu nanti

~ amri abd rani ~

Gambar hanya hiasan...

Selasa, Februari 08, 2011

Tetamu Agung

Tika fikir mereka menggerutu
pegangan kelam kelabu
beraja di mata menurut nafsu
bersepah auta melimpah tipu
sembah percaya pada tugu tugu dungu
kau datang menjulang jamu
mengelek kisah dari Tuhan mu
tentang iman dan wahyu
tentang dosa membisu
tentang pahala dibahu

tika perih bersabda
pasal syurga pasal neraka
pasal Tuhan Yang Esa
musuh mendabik serata
tak terpejam mata
berbilang petaka
berserambi cela
senyum mu masih menyala
mendoakan mereka

beribu tahun di sini
riwayat agungmu masih terperi
benar sunnah mu membara di hati
dalam terang dalam sembunyi
engkaulah kunci
pada pintu pintu daki duniawi

~ amri abd rani ~

p/s : harap maaf, gambar makam yg dikatakan Makam Rasulullah tu,
terpaksa Pakwi delete sebab ia bukannya Makam Rasulullah yg sebenar,
setakat yg Pakwi tau (diberitau oleh sahabat), tidak dibenarkan sesiapa
untuk mengambil gambar Makam tersebut..Allahualam..

Ahad, Februari 06, 2011

Aku ....

Untuk menjawab tag dari Muhammad 'Afif , 25 fakta pasal diri (byknya..tak terbuat), hanya ini yang termampu....


lelaki anak...punya emak...tiada bapak
lelaki suami...punya isteri...moga ke mati
lelaki ayah...anak bersepah...banyak karenah
lelaki biasa...punya jiwa...miskin harta
lelaki alpa...dosa menerpa...ibadat biasa

lelaki kosong...mudah tersinggung...tiada agung
lelaki suka...kereta antik barang lama...kadang beli kadang percuma
lelaki mudah...kadang ramah...kadang gelisah
lelaki rahsia...banyak cerita...suka ketawa
lelaki tabah...kadang rebah...kadang menggagah

lelaki culas...kadang malas...suka berkias
lelaki aku...tak cari seteru...tak suka meniru
lelaki kamu...punya nafsu...hidup berliku
lelaki karat...kadang liat...kadang ligat
lelaki benci...orang mencaci...orang memaki

lelaki gelisah...berbuat salah...dosa melimpah
lelaki berhajat...moga ibadat...sejahtera akhirat
lelaki hamba...punya harta...milik Yang Esa
lelaki........

~ amri abd rani ~

Seorang lg anak tiada dlm gambar, entah kemana berlari...??!!
"Aku" dulu seorang...kini "Aku" dah ramai....

Tertanya (i)

Sedang mereka sibuk merayakan
kemilau tahun baru
aku cuma berasa senang
menjenguk ibu melampias rindu
terbentang suka
terlentang duka

pipi berkedut
nadi berdenyut
ibu tua belum ganyut
ibu tua belum melalut
ibu tua masih lembut
senyum meniti usia
gagah menyambung nyawa

Tuhan
berapa banyak waktu lagi
bisa aku melihat ibu mengaji
berapa banyak waktu lagi
bisa aku melihat ibu berzanji

mata mula memerah
hati makin merekah
jiwa ku rebah....pasrah

~ amri abd rani ~


Rabu, Februari 02, 2011

Dulu Dulu

Dulu Dulu berkain batik
berkembang gantung molek molek
jalan ramai terkedek kedek
tepian kali tertenggek tenggek

Dulu dulu luncur perahu
kayuh dayung rindu ke hulu
labuh sauh mata layu
genit genit gadis melayu

Dulu dulu pasang pelita
malam malam hitam gelita
kuyu kuyu si anak mata
tikar mengkuang tempat bercinta

Dulu dulu dara pemalu
diam diam lalu lalu
teruna kena sapa dahulu
nanti nanti terlepas rindu

Dulu dulu si tua berseloka
balik awal sebelum senja
tunggu tunggu sembang teruna
nanti nanti hantu menjelma

Dulu dulu aku tak tahu
ada dara asmara merindu
kini kini jadi suriku
tenang tenang di tasik madu

~ amri abd rani ~

Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.