Sabtu, Mei 14, 2011

Kini aku

selamat pagi cikgu
gema keramat ucapan berlagu
tika silih datang bertamu
tanda merai hormat padamu

laungmu
"mari kita bongkar sejarah
mari kita berlayar ke Eropah
mari kita lawan penjajah"

laungmu lagi
"mari mengalun bahasa
mari menghafal formula
mari bermain minda
mari menyalin baca
mari menyepak raga"

katamu
"jangan sedih jika kalah
jangan malu markah merah
jangan risau kena marah
jika rebah perlu tabah"

nakal kami tak tercabar
gagal kami kau bersabar
bagi mu kami pepohon segar
perlu siram kan kuat akar
perlu baja dedahan menjalar
perlu gembur dedaun kan mekar
perlu mentari bebunga menyinar

ke mana kini cikgu beradu
indah memori menyapa kalbu
sewaktu ranjau mendakap buku
tika bertatih mendulang ilmu
ada sesuatu ku ingin kau tahu
ada khabar mengembirakan mu
ada lelaki penyambung warkah mu
lelaki itu kini aku...

~ amri abd rani ~


Sabtu, Mei 07, 2011

Seorang Ibu

seorang ibu
kasihnya beribu
takkan pernah jemu
pesan menasihatimu

seorang ibu
berkorban tiap waktu
meredah onak berliku
tetap tabah terulit pilu

seorang ibu
hatinya seribu rindu
biar anak seribu batu
tetap kunjung datang bertamu

seorang ibu
nuraninya bersalju
marah kerana sayang pada mu
membebel bukan cemburu

seorang ibu
jiwanya semalu
jaga tingkah laku
jaga hatinya selalu

seorang ibu
berbangga denganmu
biar tinggi mana hartamu
biar carik seluar baju

seorang ibu
telapaknya ada firdausi mu
tangannya ada restu
jangan pernah jemu
kucup bila bertemu
doa dalam sujud solatmu..

~ amri abd rani ~


Selasa, Mei 03, 2011

Osama

mungkin kau telah pergi
mungkin kau telah semadi
namun jari ini menari nari
namun diri ini tegak berdiri
hembusan nyawamu takkan mati
tiupan semangatmu bergetar sendi

andai dikau lah pejuang
gagah menggapai semboyan perang
menghunus kilau mata pedang
mengelak peluru bersilang
tingkah mu bukan alang alang
lincah mu bukan calang calang
rentak mu bukan kepalang

pada mu hidup perjuangan
pada mu hidup perlu diteruskan
menang kalah bukan sandaran
mewah dunia bukan timbangan
dunia mu hanya pergunungan
dunia mu hanya pengorbanan

tiada apa dapat ku beri
tiada hadiah agung di akhir ini
cuma seikhlas Fatehah di sisi
cuma pilu sepotong puisi
moga bertemu nanti...

~ amri abd rani ~


Khamis, April 28, 2011

Hadiah

kemesraan ?
hanyut lalu bersalut lafaz
tiada lagi selagi bernafas

kerinduan ?
telah pergi jauh sendiri
takkan pulang hilang kini

kebahagiaan ?
kian reput tertinggal parut
hati menurut nafsu tersangkut

ibu ?
hilang pedoman tinggal seorang
punya iman sendiri mengarang

ayah ?
mungkin menang jiwanya pasrah
hidup bergenang pantang menyerah

anak ?
cuma hadiah yang gundah
terlahir dari perkahwinan yang indah....

~ amri abd rani ~


Isnin, April 25, 2011

Keliru

Jalanmu laju
tak fikir dulu
tak toleh kanan
tak toleh kiri
tanya akal
tanya hati
mana nak pergi

kan dah buntu
simpang berliku
angin memburu

salah siapa
siapa salah
usah menuding
tuding dirimu
kau yang laju
laju kau pandu
terburu nafsu
sekarang termanggu
serabut keliru...

~ amri abd rani ~

Ahad, April 17, 2011

Tetamu dan Aku

Dulu
engkau rajin singgah
menyulam tinta pemurah
mencakar bait bait indah
menggunung semangat gagah

aku bersemangat menjelajah
semua teratak aku terjah
menghidu insan seribu wajah
mendakap syumul Maha Anugerah

Kini
engkau kemana bergundah
aku berlari bernafas lelah
terkejar kiri melayan karenah
terkejar kanan menyulam warkah

pelangi yang terjunjung lincah
tak selama memancar cerah
ia kan menongkah rebah
meninggal teratak bersulam indah
berlangkah lemah
diselimuti tanah tanah merah..

~ amri abd rani ~



Jumaat, April 15, 2011

Dia

dia yang dulu selalu lalu
dia yang dulu aku tunggu
dia yang dulu merentap jantungku
dia yang dulu membuka rindu
dia yang dulu indah bertamu

kini dia takkan sesiapa
kini dia dalam berada
kini dia di singgahsana
kini dia takkan kemana

hanya mati terpisah pergi
hanya mati kan kosong sepi
hanya mati terpadam api
hanya mati menutup mimpi

namun Tuhan penentu segala
namun Tuhan yang tahu cerita
namun Tuhan Yang Maha Esa
namun Tuhan bersandar kita...

~ amri abd rani ~


Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.