Khamis, Oktober 11, 2012

Kalian tak dengar

Lama aku berdiam
di awan menerawang
di ambang mengenang
cebis cebis terluka
ada kudis membuta

desa ini tersakit
kota ini menjerit
menghanyir melekit
di tangan menggigit
di kaki menjinjit

kalian mungkin dengar
tawa kuat menggegar
kalian mungkin dengar
hilai amat mendebar
namun
kalian tak mungkin dengar
tangisan jiwa meredah rasa
airmata mengalir senja...

~ amri abd rani ~


Ahad, April 01, 2012

Sedih

pedih pun menggamit
mengintai episod perit
terasa menyiat isi dan kulit
menguji iman tertahan sakit
Tuhan menguji dari langit

sedih...perih menampar dada
menyelongkar akal mendangkal jiwa
ada rasa tiada suara
ada tangis tak berlinang mata

dugaan apakah ini
merampas mimpi mimpi
memulas segala sendi
melemas urat dan nadi

Tuhan
andai ada dosa menggunung tersimpul
Kau hapus dan Kau kabul
tak termampu hambamu memikul
tiap sedih terpa datang memukul
amin...

~ amri abd rani ~




Isnin, Disember 26, 2011

Kesakitan

Pernahkah kalian
kesakitan macam kematian
mendesak desak
nafas di kerongkong
terasa nyawa digonggong

Pernahkah kalian
kesakitan bawa kepergian
membenak benak
tersayang diusung
terasa jiwa melolong

Pernahkah kalian
kesakitan pada tersayang
mengasak ngasak
jasad terhoyong
terasa nafas dihitung

sedar dan tahu
mahu tak mahu
nantikan tiba waktu
ajal mendakapmu...


~ amri abd rani ~

foto sekadar hiasan


Sabtu, November 26, 2011

Syukur Tahun Baru

rupa tidak cantik
tiada tempat orang tertarik
alhamdulillah

harta tidak banyak
semua kadang menyemak
alhamdulillah

sempurna cukup sifat
tiada sikit nampak cacat
alhamdulillah

kita asyik terlupa
khayal khayal muka selamba
gila gila buat dosa
bodoh bodoh lawan bicara
pandai pandai kosong minda
degil degil tak dengar kata
sombong sombong tiada guna
cerdik cerdik banyak mengata

perlu ajar diri
jangan asyik kejar mimpi
alhamdulillah

rezeki banyak ini
moga moga jadi seguni
alhamdulillah

redha takdir Ilahi
Dia buat semua jadi
alhamdulillah

~ amri abd rani ~


Selasa, November 01, 2011

Harapan

Tuhan
kini aku bersimpuh di anjung Mu
jauh aku berlari
sabar aku meniti
mengejar indah warna pelangi

Tuhan
kini aku mendakap takdir Mu
ada luka di belakang
ada duka di temulang
mengejar indah janji janji Mu

Tuhan
kini aku terdampar sendiri
mengenang mimpi mimpi sunyi
mengidam syahdu wangi firdausi
memburu rahmat ampunan Mu

Tuhan
di perjalanan yang entah di mana berhenti
kian aku sedar dan makin mengerti
ketentuan Mu sejak azali
namun...
izinkan aku berdiri lagi
aku ingin mendaki
aku ingin mencari
buat tambah bekal diri
tika saat indah jumpa Mu nanti..

~ amri abd rani ~


Jumaat, Oktober 14, 2011

Anak

dosa apa mereka
apa dosa mereka
lusuh jiwa kau kerjakan
runtuh rasa kau lakukan

mereka cuma amanah
dari buih-buih yang menyapa
dari jernih-jernih yang mendamba
cuma minta sedikit belai
cuma minta sekelumit hargai

mata ini berkaca
menitis tertitis di betis
menguis nguis
mendesis desis
degup rasa sayu menangis

anak
andai kau bisa datang lagi
akan ku tabur bunga bunga wangi
akan ku hampar merah permaidani
buat merai pulangmu
tanda kasih dan sayangku..

Al Fatehah.

~ amri abd rani ~



Isnin, Oktober 03, 2011

Bila

Bila kaya
cakapmu jadi laku
lagakmu orang tiru
hilangmu orang buru
ramai datang berebut ampu

bila berharta
kau cakap apa saja
dalam marah dalam ketawa
semuanya jadi mulia
ramai datang mendewa dewa

bila senang
penuh beratur singgah bertandang
macam stadium rumah benderang
sampai pagi ralit bersidang
jiran sebelah pun tak nak pandang

bila susah
semua mata macam tak endah
walau langkah nak rebah patah
walau teratak nak punah ranah
sepi sendiri mengatur tingkah
malam siang tiada yang indah

~ amri abd rani ~

Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.