Ahad, Januari 30, 2011

Malam Buta

Kau buat apa
laju motor kau lumba
rempit rempit gaya selamba
jerit jerit minah suka
pekik pekik pecah suara
asyik asyik pinggir kota

mana malumu
mana gurumu
mana bukumu
mana ilmumu
mana ibumu

kau tahu pukul berapa
kau masih suka suka
ini dah malam buta
jiran jiran nak lelap minda
kawan kawan sakit bahaya
kau macam tak ada mata
kau saja nak layan jiwa
orang lain lantak belaka
jalanraya macam kau sewa

~ amri abd rani ~

Rabu, Januari 26, 2011

Tanjong Lumpur (ii)

Di jingga langit redup kelmarin
aku melabuh lelah di pantai mu
ketawa riuh anak anak berlari berkicauan
tiada perih kegusaran di wajah
tiada pedih keperitan bergundah
semua cerah
semua indah

Nun di penjuru batas ombak
terkagum aku melihat gigih nelayan memunggah laut
wajah kedut seribu
terkendong seribu cerita
mesranya bicara mu menyapa salam
tanpa ditanya....keluh pun berkisah
bercerita tentang nasib
berangan dalam ralit

katamu...
anak anak sudah jemu bermain perahu
anak anak sudah bosan bermain sampan
mereka ingin ke kota mengejar cita
katamu...
"aku bimbang ombak dan pantai kota bisa menghanyutkan"
"aku bimbang dayung mereka kan patah"
"aku bimbang merekakan karam tenggelam"
katamu lagi...
"aku sudah tua...tak lama lagi aku kan pergi"
membasah jiwa mengalir air mata
aku terdiam seribu bahasa

Aku pun teruja berpesan di warkah bisu ini
pergilah ke kota angan mu wahai anak
moga tergalah cita dan cintamu
namun di dinding hamparan hatimu
biarlah terbuai lagu rindu
jangan lah kau endah terlupa
ayah mu telah tua
jenguk sapalah sebelum tiada....

~ amri abd rani ~


Isnin, Januari 24, 2011

Mengidam Cinta

Degup
jantung berdegup
denyut
nadi berdenyut
debar
rasa berdebar
getar
jiwa bergetar

ingin menyapa hati meronta
ingin berkata kelu bicara
mana nak mula

kelip
mata berkelip
detik
hati berdetik
jerit
raga menjerit
ketar
naluri terketar

usah lama bermain mata
usah lena membiar cinta
keras langkah mencumbu warkah
ikhlas tingkah memburu wajah
jujur mengatur jangan berhelah
yakin membara moga tak kalah

~ amri abd rani ~

Sabtu, Januari 22, 2011

Tuhan Di Sana

Tuhan di sana
memandang dengan rahmat
menonton tanpa penat
segala kerja buat
segala amal ibadat
segala khusyuk solat
segala sedekah sunat
segala lorong maksiat
segala bidaah sesat
segala jalan keramat
segala gua khurafat
segala jalan makrifat
segala luhur amanat
segala madah khianat
segala taufik hidayat
segala kembara laknat
segala tipu muslihat
segala ajaran jahat
segala dusta kerabat
segala dendam kesumat
segala menganga aurat
segala ikhlas keringat
segalanya DIA melihat

Lari kemana kamu
selindung di mana kamu
menyorok bagaimana kamu
DIA takkan jemu
menanti dan menunggu
saat dan masa pulang mu
bersama ajal yang dah tentu
bersama ajal yang DIA tahu


~ amri abd rani ~

PS : pada sahabat yg singgah, Pakwi mohon byk maaf kerana xsempat nk membls kunjungan, Pakwi tengah sibuk sgt skrg...urusan dunia...

Khamis, Disember 09, 2010

Tuhan

Tuhan
mengetuk jendela rumah Mu
serasa basah tekak bagai minum air di kali
serasa bugar tubuh bagai bermandi embun pagi
nyaman wanginya bayu
yang Engkau hembuskan
lemas aku dalam
dakap dan harum Mu
pasrah aku dalam
sujud dan salam Mu

Tuhan
tiadalah aku tanpaMu
syukur dan redha
pada qada dan qadar Mu
miskin tidakkan berpaling derhaka
kaya tidakkan bergasing kufur
malah .... cinta dan iman ini
makin kukuh dan utuh
seteguh kaabah Mu

Tuhan
jangan berpaling nur kasih Mu
aku rindu hidayah Mu
aku tagih luasnya rahmat Mu
di kejauhan malam
dalam dingin yang tertusuk ke belulang ku
dalam ketar yang terasa di urat nadi
kedua tangan ini menadah dalam tangis
sedu dan sedan bersilih ganti
memohon limpahan ampunan Mu
pada bebanan yang penuh sarat
dengan dosa dan noda
tak tertanggung di bahu ku
tak terjunjung di ubun ku
semoga di Masyar nanti
Engkau hadiahkan pada ku
sebuah FIRDAUSI.....

~ amri abd rani ~



Ahad, November 21, 2010

Pabila Dapur Menyanyi

pabila periuk menyanyi
ibu sibuk kacau menumis
anak sibuk ronta menangis
ayah sibuk membaiki kumis

pabila kuali menyanyi
ibu sibuk asyik menggoreng
anak sibuk baling tertungging
ayah sibuk mengusap baring

pabila belanga menyanyi
ibu sibuk renjis menggulai
anak sibuk rambut terurai
ayah sibuk bermulut murai

pabila dapur henti menyanyi
ibu sibuk mengemas rumah
anak sibuk main di tanah
ayah sibuk tak tentu arah

sibuknya anak
sibuknya ayah
namun tak terlawan sibuknya ibu
berkorban jiwa sepanjang waktu...

~ amri abd rani ~

Jumaat, November 19, 2010

Datar

bersantai bayu di celah pepohon datar ini
tempat terperah keringat
tempat terhambat penat
mengajar makna lelaki dan diri
sekukuh jiwa perkasa menggagah dada

berkelah sungai di sejuk alur datar ini
tempat meraih simpati
tempat meleleh rezeki
mengajar makna kosong dan sepi
sesunyi subuh yang hampir nak pagi

berdayung onak di muara lusuh datar ini
tempat cinta bersemi
tempat kasih bersemadi
mengajar makna sayang dan janji
sesuci embun di pagi hari

berlari anak di jalanan luluh datar ini
tempat terbongkang rebah
tempat terlentang patah
mengajar makna sedar dan tabah
sesabar menganyam madu sang lebah

bergelora badai di gigi pantai datar ini
tempat memikat iman
tempat memukat Al Quran
mengajar makna kalimat dan akhirat
moga terjaring serelung Rahmat...

~ amri abd rani ~

Related Posts with Thumbnails
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.