Di gema syahdu takbir Syawal
tertusuk kamar hati
wajah kasih ayahanda legar serata
memandang lembut manja
menerpa rindu membara
abah
telah lama tak ku jejak
persemadianmu
telah lama tak ku hambat
rindu kasih mu
merendang pilu tangisi pergi mu
dalam ketar bicara
kau pergi jua
dalam getar jiwa
kau hilang jua
di indah salju Syawal
tiada lagi tangan keramat untuk ku kucup
tiada lagi bualan amanat buat jantung berdegup
cuma potret melambai kenangan terpahat melekat
pergilah.... semadilah
pasti aku akan menurutmu nanti
berbaring diam dalam barzakh
berlunjur tenang dalam pasrah
Al Fatehah
untuk seorang lelaki bergelar bapa
untuk seorang lelaki berjiwa mulia
untuk seorang lelaki tak lagi ku jumpa
untuk seorang lelaki mengajar segala...
~amri abd rani ~
Selasa, Ogos 30, 2011
Sabtu, Ogos 13, 2011
Tanah Air Api Angin
tanah ini kita genggam kita ramas
kita peluk kita belai jangan lepas
biar bangkit hawa panas
biar terbit halwa tegas
seketika dulu kena rampas
seketika dulu kena pulas
seketika dulu kita culas
ada Mendeliar suka berkias
ada Si Kitul suka berbahas
air ini kita kucup kita hirup
kita tadah biar tempayan pecah meletup
kita ratah biar sampai jantung berdegup
air ini buat basuh derhaka pak sanggup
air ini buat jirus pendekar terlungkup
air ini banyak jasa mengajar hidup
air ini kita jampi jangan sampai kita gugup
api ini kita jaga jangan sampai lawan bicara
biar marak biar rebak semangat menyala
biar onak biar semak tak angkat muka
api ini jika dibiar merah membara
api ini jika dilontar gagah gempita
api ini biar diam sumbu pelita
api ini jangan bakar derhaka jiwa
angin ini kita sedut kita hembus
kita jamah biar hilang asap kabus
biar lonjak rasa tulus
biar puncak jiwa kudus
angin ini kita usap jangan sampai kita jerlus
angin ini kita sembur agar musuh pergi berambus
angin ini ada lawan perangkap tikus
angin ini hadiah Tuhan benda halus
tanah air api angin
aku tak hendak aku tak ingin
jadi bacul di pohon beringin
jadi dayus di tiup angin
~ amri abd rani ~
Rabu, Ogos 03, 2011
Syurga
mendamba indah firdausi
petang menyusur pagi
tak sama melayar duniawi
bergelumang dengki
berkumandang iri
terpinggir mimpi
menggapai wangian syurga
tatkala terbuka mata
tak sama nafas menghela
berserabut minda
bersalut nista
terabai cita
merindu syurga Mu
dalam sujud bertamu
dalam zikir berlagu
walau hanya menghidu
secuit kasturi menderu
di sini terpalit resah
di sini terulit gundah
ibadah sebutir antah
mengidam syurga indah megah...
~ amri abd rani ~
Langgan:
Catatan (Atom)
Kepunyaan amrirani. Dikuasakan oleh Blogger.